February 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus

SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat
Selangor untuk memilih parti yang bercirikan dan mengamalkan ajaran
Islam, sekaligus dapat menjadi contoh kepada negeri lain.

Sehubungan itu katanya, sekiranya PAS dipilih untuk menjadi kerajaan,
parti itu komited untuk berlaku adil kepada semua kaum di negeri ini.

“Negeri Selangor perlu menjadi contoh, kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam.

“Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam ke depan. Pilih calon-calon Islam yang boleh menegakkan ajaran Islam.

“Kita mesti faham, bukan kita membelakangkan orang-orang bukan Islam,
kewajipan kita adil terhadap semua, berdosa kalau kita tidak berlaku
adil terhadap orang bukan Islam,” katanya ketika berucap di Himpunan
Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya PAS Selangor di Stadium
JKR Seksyen 17, hari ini.

Justeru ujarnya, menjadi kewajipan umat Islam untuk mengutamakan Islam
terlebih dahulu dan berjuang untuk memilih kerajaan yang berlaku adil
kepada semua.

Ditanya berkenaan peruntukan ADUN parti itu di Selangor yang didakwa
dibekukan, Ahli Parlimen Marang itu walau bagaimanapun enggan mengulas
lebih lanjut.

Sebaliknya meminta supaya mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Itu kena tanya MB Selangor. Soalan ini jangan tanya saya, dia yang buat kerja kena tanya dia,” tambahnya.

Pimpinan PAS Selangor sebelum ini mengesahkan 13 wakil rakyatnya di
Selangor belum memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri, sekali
gus memaksa sesetengah program mereka terpaksa dibatalkan atau dibiayai
dengan wang persendirian mereka.

Dalam pada itu, Hadi dalam ucapannya turut menyeru golongan muda agar
tidak memandang remeh dan tidak mengundi pada PRU14 akan datang.

“Malangnya hari ini ramai kalangan umat Islam anak muda dan lain-lain
menganggap undi dan pilihanraya tidak penting dan tidak mustahak.

“Tidak mahu daftar taknak keluar undi. Serupa saja parti mana atau apa
pun. Ini adalah satu anggapan salah bertentangan dengan agama islam,”
tambahnya.

PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos 2018.

Angka yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan
Rakyat pada sesi lalu menunjukkan terdapat 3.8 juta rakyat,
kebanyakannya berumur 21 tahun, yang masih belum mendaftar sebagai
pengundi setakat 31 Mac.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum yang lalu, BN mendapat 4.315 juta
undi atau 46% undi popular manakala pembangkang meraih 5.035 juta undi
atau 53.5% undi popular.

Facebook Comments

admin

One Comment

Leave a Comment

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: